Sejarah awal Ulama_Minangkabau

Bila dan dari mana masuknya Islam di Sumatera Barat masih menjadi perbahasan para sejarawan. Terdapat petunjuk bahawa pantai timur Sumatera telah disinggahi oleh saudagar-saudagar Islam sejak abad ke-7,[1] sedangkan berita Cina Xin Tangshu menyebut bahawa pada tahun 675, orang-orang Ta-Shih (Arab) telah mempunyai perkampungan di pantai barat Sumatera.[2] Sesetengah pihak memperkirakan Islam datang ke Minangkabau dari Siak jika melalui pantai timur Sumatera, manakala pihak yang lain pula memperkirakan ia datang dari Aceh jika masuk melalui pantai barat.[3] Budayawan A.A. Navis berpendapat bahawa Islam telah masuk dari Aceh sejak abad ke-8.[4]

Para ahli geografi Muslim abad ke-9 dan ke-10, seperti Ibnu Khurdadzbih dan al-Biruni, menulis bahawa Sumatera (yang mereka sebut sebagai Zabaj) adalah sebahagian daripada laluan perdagangan mereka menuju ke China.[5] Pengembara Venesia Marco Polo (1292)[6][7] yang singgah di Sumatera menulis bahawa penduduk pedalaman pada umumnya masih belum beragama Islam, sedangkan pengembara Maghribi Ibn Battuta (1345)[7] menemui bahawa Mazhab Syafi'i telah diamalkan oleh masyarakat Pasai. Pengembara Portugal Tomé Pires (1512-1515) secara khususnya menyatakan bahawa hanya satu daripada "tiga raja Minangkabau" yang ketika itu telah memeluk Islam.[8]

Salah seorang ulama terkemuka yang terawal di Minangkabau ialah Syeikh Burhanuddin (1646-1692), yang merupakan pelopor penyebaran Islam di daerah pedalaman Kerajaan Pagaruyung.[9][10] Syeikh Burhanuddin yang menetap di negeri Ulakan, Pariaman merupakan murid ulama besar yang berasal dari Aceh, Syeikh Abdurrauf Singkil.[10] Selain itu, terdapat juga ulama Minangkabau bernama Syeikh Halilullah (bahasa Aceh: Teungku di Ujong) yang pernah membantu Kesultanan Aceh menyebarkan Islam di Pulau Simeulue.[11][12]

Rujukan

WikiPedia: Ulama_Minangkabau http://rmaward.asia/awardees/maarif-ahmad-syafii/ http://www.ranaocouncil.com/history/?id=9 http://www.sumbaronline.com/berita-11142-perjalana... http://majalah.tempointeraktif.com/id/arsip/1990/0... http://www.tempointeraktif.com/hg/nusa/2008/11/05/... http://archive.wikiwix.com/cache/?url=http://majal... http://www.wisatamelayu.com/id/tour/1575-Makam-Teu... http://www.wisatanews.com/more.php?id=1216 http://www.academia.edu/6609095/SEJARAH_KEMASUKAN_... http://padangekspres.co.id/?news=berita&id=32547